Berita :
Terengganu Perluas Pendidikan Inklusif, Sedia Modul Khas Untuk Pelajar Autisme
Terengganu Perluas Pendidikan Inklusif, Sedia Modul Khas Untuk Pelajar Autisme
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
58

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri memperluaskan pendekatan pendidikan inklusif dengan memberi tumpuan khusus kepada golongan orang kelainan upaya (OKU), termasuk pelajar bermasalah penglihatan, pendengaran dan autisme dalam sistem pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Yayasan Islam Terengganu yang kini mengendalikan institusi pendidikan khas bagi pelajar dalam kategori berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pendidikan.

“Ini hasrat kita, supaya pendidikan formal atau pendidikan non-formal ini bergerak seiring di samping kerjasama JHEAT, kolej-kolej termasuk KQT dan sebagainya mewujudkan pusat pengajian, kelas-kelas yang berdasarkan kurikulum ataupun sijil sama ada untuk memahirkan mereka dengan al-Quran dan juga ilmu-ilmu Islam.

“Dan kerjasama kita dengan semua pihak dalam menjayakan pendidikan di semua peringkat termasuk Yayasan Islam Terengganu yang telah kita sekarang ini beroperasi untuk sekolah bagi mereka yang OKU penglihatan dan juga pekak sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan pendekatan kerajaan negeri dalam memperkukuh akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar berkeperluan khas.

Satiful berkata, kerajaan negeri juga terus menambah baik sistem sokongan pendidikan Islam secara menyeluruh, termasuk melalui pengukuhan institusi pendidikan khas yang sedia ada.

Menurut beliau, pendekatan pendidikan negeri tidak hanya tertumpu kepada aliran akademik semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang kepada pendidikan agama dan pembinaan sahsiah.

“Dan kita sekarang dalam proses menyediakan modul untuk pelajar-pelajar autisme. Semoga ia dapat membebaskan mereka daripada tanggungjawab-tanggungjawab khususnya melibatkan fardhu ain dan sebagainya,” katanya.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian usaha memperluaskan akses pendidikan yang lebih inklusif dan mesra OKU, selaras dengan keperluan semasa masyarakat.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan