Terengganu Salur RM2 Juta Bantu Usahawan Kecil Tahun 2024

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Kerajaan negeri terus memberikan komitmen tinggi dalam menyokong usahawan kecil dengan menyalurkan hampir RM2 juta sepanjang tahun 2024 melalui pelbagai inisiatif.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang memperluas lagi bantuan kepada usahawan pada tahun 2025. 

Menurutnya, selain pinjaman melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), yang menawarkan pinjaman sehingga RM30,000 bagi setiap penerima, kerajaan juga bercadang menghidupkan semula geran perniagaan bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

“Pada tahun 2024, hampir RM2 juta telah dibelanjakan melalui TUGAS, manakala tahun sebelumnya jumlah itu mencecah RM3 juta, pernah juga kami salurkan hingga RM6 juta dalam setahun. 

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dengan lebih baik pada tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas selesai Program Komuniti Usahawan, di sini semalam.

Dalam program tersebut, bantuan peralatan perniagaan bernilai RM15,000 telah diagihkan kepada empat usahawan terpilih di Kampung (Kg) Padang Mengkuang, Kg Pak Madah, dan kawasan sekitar Bukit Payung.

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh usahawan kecil. 

“Hari ini, setiap penerima menerima bantuan bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya. 

Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan dalam bentuk barangan seperti mesin kukur kelapa, alatan membuat kuih-muih, dan peralatan lain yang relevan dengan jenis perniagaan penerima. 

“Langkah ini bertujuan meringankan beban para usahawan, khususnya mereka yang menghadapi cabaran seperti modal terhad atau kerosakan aset.

“Bantuan ini bukan sekadar sumbangan, tetapi satu usaha untuk memperkasakan komuniti perniagaan secara menyeluruh. 

“Kami mahu mereka terus maju dan mampu berdaya saing,” jelasnya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Pusat Khidmat Masyarakat(PKM) dan wakil rakyat untuk memastikan sumbangan diagihkan secara adil di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

“Setiap kawasan akan ditentukan jumlah penerima berdasarkan keperluan, agar bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Walaupun menghadapi kekangan masa, kami tetap komited untuk memberikan yang terbaik demi kelangsungan usahawan kecil di negeri ini,” ujarnya.