• 19 Okt 2024 | 16 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Sambut Baik Akta 852, Kawalan Rokok dan Vape

BESUT, 17 Oktober - Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan satu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya sedia bekerjasama dari segi penguatkuasaan dan menaiktaraf undang-undang sedia ada demi kesihatan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyahut saranan KKM untuk menguatkuasakan akta yang baru dilancarkan.

“Kita juga sedang merangka satu peraturan baharu supaya tidak membenarkan premis menjual rokok terutama rokok elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.

Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Wan Sukairi percaya Akta 852 itu bakal menjaga dan mengawal golongan belia daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan.

“KKM telah meletakkan peraturan dan syarat yang sangat ketat, antaranya ialah penjualan kepada remaja di bawah umur, ia satu kesalahan berat andai menjual kepada individu di bawah umur.

“Zon larangan merokok juga ditambah kepada 28 tempat seluruhnya, seperti larangan merokok di kedai berhawa dingin, premis kerajaan, stadium atau pusat kecergasan, dobi, cafe internet, kompleks sukan, kawasan institusi pendidikan, lif atau tandas awam, dan banyak lagi tempat yang telah digazetkan.

“Negeri ini juga telah mewujudkan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) seperti pusat peranginan Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, yang telah diwartakan sejak 2018.

“Di daerah Besut kita buat di Dewan Merdeka Kota Putera Square ini, ada tujuh lokasi semuanya di seluruh Terengganu.

“Seterusnya, pengenalan kawalan produk alternatif seperti rokok elektronik termasuk vape, produk ini tertakluk juga kepada peraturan sama dengan rokok kebiasaan, sekarang vape sudah disamakan dengan rokok,” jelasnya.

Untuk rekod, Akta 852 juga mengawal segala bentuk iklan, promosi, penajaan yang berkaitan dengan produk rokok, pengiklanan secara langsung atau tidak, adalah dilarang di semua platform media termasuk media sosial.

Beliau juga percaya dengan peranan pihak kerajaan ini dapat mengawal rakyat dari terkena denda atau hukuman yang serius, juga dapat mendidik masyarakat tentang bahaya aktiviti merokok.

“Jika tuan/puan melanggar undang-undang demikian, boleh dikenakan kompaun atau denda yang tinggi, juga boleh disabitkan hukuman penjara, terhadap penjual atau pengguna.

“Dalam masa yang sama, pendidikan kesihatan awam akan dilakukan secara berkala untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, bahawa merokok ini patut dihindarkan, bukan sahaja membazir wang ringgit, tapi mengakibatkan kesihatan terancam,” ujarnya.