Terengganu Sambut Baik Penubuhan Sekolah Kepimpinan Belia

Wan Sukairi Wan Abdullah.
KUALA NERUS, 7 November - Kerajaan Terengganu menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sekolah kepimpinan belia memandangkan had umur pengundi akan diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menyarankan supaya melaksanakan modul berteraskan sejarah  negara yang sebenar.

Katanya, ia merungkai kisah sebenar mengenai perjuangan kemerdekaan negara yang tidak diajar sepenuhnya di sekolah-sekolah kebangsaan pada hari ini, menyebabkan mereka tidak tahu maklumat sebenar kemerdekaan.

“Contohnya, peranan yang dimainkan para ulama untuk memberikan kesedaran kepada rakyat terutama di peringkat akar umbi untuk bangkit menentang penjajah tidak didedahkan.

“Jadi pendedahan sejarah ini sangat penting supaya belia-belia kita tahu apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Tarbiyyah Darul At-Taqwa (Komtaq), baru-baru ini (3 November).

Menurutnya, di samping itu, ia akan membangkitkan semangat dan cita-cita untuk mempertahankan negara dari sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara di masa akan datang.

“Mereka juga lebih pandai untuk membuat penilaian siapa yang sebenarnya berjuang untuk kemerdekaan negara sekaligus akan menjadi seorang pengundi yang tahu apa keperluan masa hadapan.

"Ini adalah soal siapa yang perlu mereka pilih dan perjuangan bagaimana yang boleh menyelamatkan negara pada masa akan datang,” jelasnya.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, mereka perlu diberi kesedaran sehingga mampu mempunyai satu tahap pemikiran yang benar-benar matang yang menyebabkan undi yang mereka akan keluarkan adalah undi yang benar-benar berkualiti.


Tag: