Hishamuddin Abdul Karim. |
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau percaya untuk mencapai seratus peratus kesempurnaan, amalan tersebut agak sukar namun tidak mustahil target berkenaan boleh dicapai.
"Oleh kerana kita berusaha untuk patuh syariah dalam aktiviti sukan walaupun tidak mencapai seratus peratus, paling tidak, kita dapat mencapai 60 hingga 70 peratus.
"Itu adalah satu perkembangan yang sangat positif untuk kita kembangkan pada masa yang akan datang," jelasnya.
Katanya, sasaran itu tidak berjaya dicapai melainkan mendapat sokongan daripada semua warga sukan negeri Terengganu termasuk kepimpinan sukan dan atlet-atlet dari kalangan rakyat negeri Terengganu sendiri.
Hishamuddin berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini semalam.
Turut hadir,Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Pegawai-pegawai Daerah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.
Beliau yang juga ADUN Tepoh berkata, apa yang perlu dibuat adalah semua pihak perlu berusaha gigih untuk tunduk dan patuh kepada ajaran Allah walaupun berada di dalam gelanggang sukan.
"Saya percaya dan saya yakin kita tidak akan dapat mencapai seratus peratus kesempurnaan, apatah lagi bengkel yang dibentuk untuk memberikan garis panduan patuh syariah ini belum lagi lengkap disiapkan oleh pihak jawatankuasa kita.
"Insya-Allah sedikit masa nanti akan diterbit dan ditampilkan (garis panduan tersebut) kepada semua berdasarkan kepada nasihat Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu yang terlibat sama dalam bengkel yang kita adakan tempoh hari," tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa atlet bukan Islam yang terlibat dalam temasya sukan tersebut.
"Mereka telah menampilkan imej yang sopan, dalam masa yang sama mereka juga berusaha gigih untuk patuh syariah seperti yang kita terap.
"Bagi atlet yang belum lagi bersedia, marilah kita sama-sama bergerak dan mengatur langkah bagi memulakan perubahan dengan meletakkan tanggungjawab kita kepada Allah mengatasi segala-galanya walaupun untuk kita meraih emas dan seumpamanya," ujarnya lagi.