lightning-solid
Berita :
Terengganu Sokong AirAsia Benarkan Wanita Muslim Berhijab
Terengganu Sokong AirAsia Benarkan Wanita Muslim Berhijab
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik keputusan terbaharu AirAsia yang memberi pilihan kepada kru kabin wanita muslim untuk memakai hijab di semua laluan penerbangan dan operasi syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan itu merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh suasana kerja inklusif, profesional dan menghormati pilihan individu berlandaskan agama. 

"Inisiatif ini juga mencerminkan kepekaan pihak syarikat terhadap kepelbagaian budaya serta keperluan pekerja dalam mengekspresikan identiti masing-masing.

"Kerajaan Negeri Terengganu turut menghargai kepimpinan AirAsia, khususnya Tan Sri Tony Fernandes atas komitmen untuk terus menambah baik dasar dalaman syarikat demi kesejahteraan warga kerja," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pendekatan yang terbuka dan responsif sebegini wajar dijadikan contoh dalam usaha membina persekitaran kerja yang harmoni dan progresif.

"Sebagai sebuah negeri yang sentiasa menekankan nilai saling menghormati dan kesejahteraan masyarakat, Terengganu menyambut baik langkah-langkah yang menyokong keharmonian dan keselesaan pekerja tanpa mengira latar belakang.

"Tahniah kepada AirAsia atas polisi baharu ini dan didoakan agar syarikat terus maju serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.


Artikel Berkaitan