Terengganu Sokong Beku Akaun Lelaki Ingkar Bayar Nafkah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan untuk membekukan akaun bank lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri selepas berlaku perceraian antara mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu tepat kerana ia akan menjamin kebajikan kaum hawa yang perlu menjaga anak mereka selepas bercerai.
"Saya menyokong penuh pandangan yang dikemukakan oleh Kementerian dan diusulkan oleh Perdana Menteri itu, bagi memastikan suami yang ingkar selepas penceraian membuat pembayaran.
"Tindakan membekukan akaun bank mereka (lelaki) supaya suami ini faham tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.
Perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Hanafiah berkata, di Terengganu kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menyediakan khidmat biro guaman secara percuma kepada pasangan suami isteri yang berdepan masalah rumahtangga.
“Di sana (YPK), kita ada peguam-peguam bagi membela isteri yang ada kes mahkamah.
“Biro guaman kita akan bagi nasihat. Saya harap pasangan yang ada masalah hadir ke YPK untuk dapat khidmat nasihat,” ujarnya.
Tambah Hanafiah, bagi mengekang kes penceraian ÝPK turut mengadakan program ‘second honeymoon.’
“Kalau di peringkat awal hendak berpisah, mereka dihantar oleh pejabat agama atau LPPKN untuk kita buat ‘second honeymoon’ dengan membawa pasangan ke mana-mana lokasi secara berkumpulan selama tiga hari dua malam dimana program tersebut diselitkan dengan tazkirah, motivasi dan sebagainya.
“Selepas mengikuti program ini kebanyakkan menunjukkan reaksi positif dan membuat keputusan untuk tidak berpisah,” katanya.