Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi.
“Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000.
“Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa.
"Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup.
"Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya.
Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.