• 12 Okt 2024 | 09 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan di Akar Umbi

KUALA NERUS, 10 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mempergiatkan pembangunan sukan di akar umbi menerusi penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata,  pembangunan yang sistematik bermula daripada peringkat akar umbi, mampu memajukan sukan tanah air.

“Kita mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka perlu digilap daripada peringkat kampung lagi agar suatu masa nanti, kita mempunyai pemain yang berkualiti tinggi.

“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha untuk mengadakan pertandingan sukan termasuk bola sepak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika memerlukan sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri, kita boleh berbincang, sebelum ini dah banyak kita keluarkan peruntukan untuk membantu pembangunan sukan di akar umbi,” katanya dalam program ‘Temu Mata Anak Muda’ di Warung Pok Pin, Kampung Padang Maras, Batu Rakit semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan anak muda DUN Batu Rakit berhubung penganjuran sukan bawah 20 tahun. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa.

Dalam perkembangan lain, menjawab pertanyaan tentang pembinaan rumah untuk belia, Hishamuddin berkata agenda itu sentiasa menjadi tumpuan Kerajaan Negeri.

“Sudah banyak projek perumahan yang meliputi pelbagai peringkat umur kita bina walaupun ada kekangan tertentu. Yang pastinya, penyaluran Dana Khas atau royalti yang tidak mengikut kebiasaan menambahkan kerumitan pihak kerajaan negeri. 

"Insya-Allah di sebalik tekanan yang ada, kita akan terus berusaha bagi memastikan rakyat Terengganu yang layak menikmati kemudahan ini," katanya.

Untuk rekod, program 'Temu Mata Anak Muda' semalam adalah siri kedua selepas DUN Langkap.

Program tersebut bagi menyampaikan peralatan sukan kepada pihak DUN di samping slot sembang santai anak muda berkait Kerajaan Negeri dan isu setempat.


Tag: