Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Stratcomm Tingkat Sistem Penyampaian Komunikasi Negeri dan Rakyat
Terengganu Stratcomm Tingkat Sistem Penyampaian Komunikasi Negeri dan Rakyat
Mohd Irsyadi Abu Bakar
3 jam yang lepas
109

KUALA TERENGGANU, 18 November - Sekretariat Komunikasi Strategik Negeri Terengganu atau Terengganu Stratcomm akan menjadi nadi pembangunan dan pengurusan komunikasi yang lebih tersusun pada peringkat pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekretariat berkenaan akan membangunkan Pelan Induk Komunikasi Strategik Negeri sebagai panduan pengurusan komunikasi lebih terurus pentadbiran negeri di samping pembangunan modul latihan komunikasi untuk meningkatkan kapasiti pegawai dan agensi kerajaan dalam menguruskan komunikasi itu.

Katanya, langkah itu diharap dapat membentuk ekosistem komunikasi Kerajaan Negeri yang lebih profesional, responsif dan bersepadu, sekali gus memastikan maklumat serta dasar kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih jelas, tepat dan berkesan.

"Kalau kita lihat dan perhatikan ucapan bajet yang telah disampaikan Menteri Besar memperlihatkan, kerajaan negeri memang serius dan berterusan mempertingkatkan sistem penyampaian dan komunikasi rakyat dari semasa ke semasa agar maklumat yang benar sentiasa menjadi rujukan rakyat.

"Dalam konteks semasa pada hari ini, dunia tanpa sempadan media sosial yang begitu meluas digunakan oleh semua pihak.

"Kita memandang serius keadaan semasa itu dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk kita memastikan komunikasi antara kerajaan negeri dengan rakyat berlaku dengan baik dan maklumat-maklumat dapat disampaikan dengan baik," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, Terengganu Media Index (TMI) yang dilancarkan sempena Kongres Komunikasi Strategik Negeri Terengganu pada Ogos 2026 turut dijadikan instrumen pengukuran bagi menilai prestasi dan keberkesanan komunikasi 110 entiti Kerajaan Negeri, merangkumi jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

"Pelaksanaan ini akan terus diperkukuh di semua entiti Kerajaan Negeri menerusi penganjuran kursus, latihan dan program peningkatan kompetensi secara berperingkat.

"Pada masa hadapan, skop penilaian TMI juga dirancang untuk diperluas bagi memperkukuh keberkesanan komunikasi Ahli-Ahli Yang Berhormat serta barisan kepimpinan utama Kerajaan Negeri, termasuk ketua jabatan, pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO), khususnya dalam aspek komunikasi serta penglibatan di platform media sosial," tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan