Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Tempa Sejarah di Pentas Maritim Dunia
Terengganu Tempa Sejarah di Pentas Maritim Dunia
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
113

KUALA TERENGGANU, 17 September - Terengganu melakar sejarah apabila diberi ruang eksklusif untuk tampil di pentas utama Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menerusi persidangan Sub-Committee on Carriage of Cargoes and Containers (CCC) di London, United Kingdom.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penyertaan tersebut menjadi langkah penting bagi memastikan Terengganu bukan sekadar pemerhati, sebaliknya pemain aktif dalam perbincangan berkaitan dasar dan keselamatan perkapalan di peringkat global.

Menurutnya, delegasi kerajaan negeri diketuai beliau bersama wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT), Ts. Dr. Julyus Melvin Mobilik, serta wakil daripada sektor akademik dan industri tempatan.

“Sebagai Ketua Delegasi, misi kita di sini cukup jelas iaitu mahu Terengganu bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi pemain aktif yang turut merangka dasar keselamatan perkapalan global bersama wakil dari 176 negara.

“Berkat usaha keras dan perancangan strategik pasukan, kita berjaya melakar sejarah apabila Terengganu diberi penghormatan eksklusif di pentas utama IMO,” katanya dalam hantaran rasmi di Facebook hari ini.

Beliau berkata, ruang pembentangan teknikal pada persidangan berkenaan dijayakan wakil Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd. Hanif Yaakob dengan mengetengahkan inovasi rakan industri tempatan, Inter Green Global Sdn. Bhd.

Katanya, penyertaan tersebut membuka ruang lebih luas untuk idea dan perancangan berkaitan logistik Terengganu dinilai secara langsung oleh pakar antarabangsa.
“Ini juga membuktikan komitmen kita dalam memperkasakan industri tempatan dengan membawa inovasi mereka ke pentas antarabangsa.

“Apabila dunia yakin dengan sistem pengurusan kargo kita yang moden dan mematuhi standard keselamatan antarabangsa, ia berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pelaburan serta peluang ekonomi dan pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya.

Mohd. Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha membawa potensi serta inovasi anak tempatan ke peringkat antarabangsa selaras dengan usaha membuka ruang ekonomi baharu untuk Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan