‘Terengganu Tenggiri Challenge 2019’ Tarik 150 Kaki Pancing
Nasir Abdul Razak. |
Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak memaklumkan, aktiviti tahunan yang sudah memasuki edisi ketiga itu lebih meriah berbanding tahun lepas dengan peningkatan peserta luar negeri.
Jelasnya, habuan yang diperolehi para peserta kali ini juga berganda apabila hampir 100 ekor ikan tenggiri berjaya ditangkap, sekali gus mengangkat program itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Penganjuran dan sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak dalam edisi kali ini sudah tentu akan menonjolkan lagi imej Terengganu sebagai negeri pelancongan utama.
“Melihat kepada penyertaan hari ini yang majoritinya terdiri daripada anak muda, ia memberi gambaran bahawa orang-orang muda di Terengganu sangat terbuka dan kita akan perbanyakkan aktiviti seperti ini,” ujarnya.
Mohammad Dzulfeqree. |
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup kejohanan tersebut di Pulau Kekabu semalam.
Sementara itu, juara ‘Terengganu Tenggiri Challenge 2019’, Mohammad Dzulfeqree Mohd Yasin, 30, berkata, kejuaraan yang diraih dalam kejohanan kali ini adalah pencapaian yang terbaik sejak kali pertama menyertainya pada tahun 2017.
Menurut anak kelahiran Kelantan tersebut, kejohanan seumpama itu turut berjaya memperkenalkan destinasi-destinasi percutian yang ada di Terengganu.
“Sebelum ini saya juga ada menyertai ‘Terengganu Jigging Cup’ dan hanya mendapat tempat kelapan, jadi pada saya ini adalah pencapaian terbaik saya setakat ini.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang, ia bukan sahaja pertandingan biasa tetapi mampu merapatkan hubungan sesama kaki pancing di seluruh Malaysia,” katanya.