Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang membantu mengawal penularan wabak COVID-19.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengorbanan dan jasa bakti petugas ‘front liners’ sepanjang ‘tempoh sukar’ pandemik wajar diberi penghormatan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan jasa bakti petugas barisan hadapan iaitu Majlis Keselamatan Negara, para doktor dan seluruh petugas kesihatan.
“Tidak dilupakan juga Anggota Keselamatan dan Beruniform seperti Polis, Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, anggota RELA, MPKK, NGO-NGO dan orang perseorangan yang telah berkorban masa dan tenaga, merisikokan diri untuk memastikan kawalan terhadap Pandemik COVID19 dapat diurus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.