KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Umat Islam diingatkan agar tidak lalai dalam keterujaan membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba sehingga mengabaikan kelebihan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan, yang di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tempoh 10 malam terakhir itu merupakan peluang terbesar bagi umat Islam untuk meningkatkan ibadah dan merebut ganjaran Malam Lailatulqadar.
Menurutnya, tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada ibadah pada penghujung Ramadan agar tidak terjejas disebabkan kesibukan membuat persiapan menjelang hari kebesaran umat Islam tersebut.
“Pertamanya, nak sambut raya ini kita bergembira, tetapi dalam masa yang sama jangan sampai kita lalai dan abaikan masa-masa berada di akhir bulan Ramadan ini, khususnya 10 malam yang terakhir.
“Kita bimbang apabila semakin hampir dengan Hari Raya, orang nampak lebih fokus kepada persiapan raya sehingga lupa untuk menumpukan kepada ibadah dalam bulan Ramadan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dua Unit Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di Kampung Nibong Tebal dan Padang Gelong Bilal, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau turut berpesan supaya umat Islam sekurang-kurangnya melakukan tiga amalan mudah pada setiap malam dalam tempoh tersebut.
“Saya nak pesan kepada diri saya dan semua supaya sekurang-kurangnya setiap malam akhir Ramadan buat tiga amalan.
“Pertama, mendirikan solat sunat dua rakaat. Kedua, bersedekah walaupun hanya RM1. Ketiga, membaca Surah Al-Ikhlas. Ini sekurang-kurangnya amalan yang kita boleh lakukan.
“Saya percaya semua kita mampu melakukannya. Kalau orang berniaga, ini ibarat modal yang sangat kecil tetapi untungnya sangat besar,” jelasnya.
Tambah beliau, umat Islam tidak mengetahui malam sebenar berlakunya Lailatulqadar. Namun, menurut amalan para salafus soleh, beribadah pada setiap malam di penghujung Ramadan merupakan cara terbaik bagi memastikan peluang meraih kelebihannya tidak terlepas.
“Kalau kita buat setiap malam di akhir Ramadan, pasti akan bertemu dengan Malam Lailatulqadar yang kita tidak tahu malam ke berapa ia akan berlaku. Apabila kita beramal setiap malam, insya-Allah akan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT,” ujarnya.
Tag :