• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Terus Beri Sokongan Kepada TFC

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan negeri menyeru peminat setia bola sepak untuk terus memberi sokongan penuh kepada Terengganu FC (TFC).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sokongan penyokong penting bagi menaikkan semangat skuad penyu susulan ketiadaan ketua jurulatih selepas Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan.

“TFC mempunyai penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara. Tidak bermakna kalau tidak ada (jurulatih) itu terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan isu ini, dalam senarai pendek nama calon (ketua jurulatih baharu) sudah ada.

“Kepada penyokong tentunya kita nak semua berjalan dengan lancar, tetapi ialah dalam mana-mana perjalanan sekali pun akan ada atas jalan raya kita jumpa dengan jalan tidak ada ‘line’, lubang dan sebagainya. Itu perkara biasa sama juga dengan proses kita untuk memperkukuhkan pasukan bola sepak atau pasukan-pasukan lain, akan ada masalah-masalah.

“Yang penting ialah penyokong dan peminat pasukan bola harus bersama dengan pasukan untuk memberi sokongan moral supaya walau apa jua cabaran, kita hadapi secara bersama. Insya-Allah dengan cara itu semangat pasukan dan pemain kita akan meningkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggantikan ketua jurulatih baharu dengan calon tempatan atau import.