SETIU, 14 Februari – Keceriaan tetap dicapai oleh peserta yang menyertai Karnival Sukan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) walaupun keadaan Padang Bola Kampung Guntong Dalam, Permaisuri bertukar menjadi ala-ala sawah disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata program kesukanan dan kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat ini juga boleh dijadikan satu medan kesatuan sesama manusia.
‘’ Walaupun keadaan padang bola bertukar menjadi ala-ala sawah padi namun semangat kesukanan tidak luntur. Biar bermandi lumpur demi kepuasan bersukan dan berukhuwwah.
‘’ Tahniah dan syabas kepada pihak Unit Daerah Mengundi (UDM) Guntong Dalam, Permaisuri atas kejayaan penganjuran program sukan dengan pelbagai acara yang melibatkan pelbagai lapisan umur dan jantina pada petang ini.
‘’Suatu program yang kita harapkan menjadi medan untuk berjumpa mata, merapatkan silaturahim, boleh bertanya khabar dalam masa yang sama kita bersukan untuk menyihatkan badan. Hadiah itu berada di nombor tiga, empatlah.
‘’ Kita jumpa dalam satu program kemasyarakatan setelah sekian lama program-program berbentuk himpunan sebegini tidak dapat dilangsungkan ekoran pandemik Covid-19 yang kita sama-sama lalui,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Sukan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK), di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut isu peningkatan kes yang berlaku sekarang ini, beliau turut mengingatkan agar bersama-sama mengambil langkah berjaga-jaga walaupun pihak kerajaan tiada sebarang perancangan untuk mengadakan sekatan baru.
‘’ Jadi kita anggap suasana kita ini sudah menuju ke arah andemik walaupun nampak kes semakin meningkat tapi kita pakat sama-sama jaga insya-Allah. Mudah-mudahan program-program seperti ini akan dapat dianjurkan lagi pada masa-masa yang akan datang. Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan program ini,"katanya.
Menurut Pengerusi JPKK Guntong Dalam Zull Yunus, Karnival Sukan JPKK 2022 ini melibatkan gabungan dari tiga buah kampung iaitu Kampung Guntong Dalam, Kampung Che Mohid dan Kampung Padang Jejawi.
‘’ Antara acara yang dipertandingkan ialah bola sepak 9 sebelah dewasa, bola sepak 12 sebelah kanak-kanak, boling padang, anyaman daun kelapa, memanah dan berebut coklat kanak-kanak.
‘’ selain pertandingan, cabutan bertuah, pameran memproses minyak gelam, kelab memanah, Kelab Motor SDK turut diadakan serta jamuan gulai kawah.
Katanya, program tersebut turut ditaja oleh Syarikat Zull Go Enterprise.