TFC Perkenal Jersi, Pemain 17 Februari

HULU TERENGGANU, 4 Februari - Majlis pelancaran jersi dan barisan pemain Terengganu Football Club (TFC) 2023 akan diadakan pada 17 Februari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah semalam.

"Program itu akan dibuat selama satu hari bermula dari pagi sehingga ke petang dengan pelbagai pengisian yang menarik.

"Pada kali ini akan diadakan di lokasi yang berlainan dari sebelum ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat hadir beramai-ramai, ia dilangsungkan di Dataran  Jambatan Angkat Terengganu.

"Di majlis itu nanti akan diperkenalkan barisam pemain termasuk penaja dan juga jersi baru, jadi saya menyeru kepada semua rakyat untuk hadir beramai-ramai pada 17 Februasi nanti," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini.

Dalam pada itu, penyokong TFC, Muhammad Haizat Kama, 32, sudah tidak sabar untuk hadir ke majlis itu.

Dia yakin dan percaya program sepanjang hari itu akan diselitkan dengan program keagaaman sebagaimana yang diadakan sebelum ini.

"Sudah tentu rakyat Terengganu, terutamanya penyokong setia akan berhimpun pada program yang akan diadakan itu, saya akui sudah tidak sabar untuk hadir," katanya.