KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, THT terus menunjukkan belang apabila melakar enam kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Lioning Men’s Hockey Team (LMHT) dengan keputusan 8-3 di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, semalam.

Keputusan itu menyaksikan THT memperoleh 18 mata keseluruhan, meletakkan skuad pantai timur itu di kedudukan teratas liga MHL 2025 pada masa ini.

Manakala, LMHT kekal berada di carta terbawah setelah tewas buat kali keempat sepanjang liga berlangsung.

Aksi THT menentang LMHT di Stadium Pantai Batu Buruk petang tadi menyaksikan Andywalfian Jeffrynus meledak jaringan gol pertama THT perlawanan seawal minit ke-11 dengan satu hantaran cantik dari rakan sepasukannya.

Tanpa mengambil masa yang lama, skuad THT melalui gandingan lincah dua beradik, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari menggelecek pantas ke hadapan gawang sebelum Fitri berjaya menggandakan kedudukan skuad itu pada minit ke-14.
 


Perlawanan diteruskan sehingga ke babak kedua apabila pemain import, Lee Nam Yong menyumbang gol ketiga kepada skuad THT pada minit ke-30.

Seminit kemudian, seorang lagi pemain import THT, Samkelo Mvibi juga mencuri peluang mengukuhkan kedudukan skuad kepada 4-0 dalam satu pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Walaupun selesa dengan 4-0, penyerang skuad THT yang juga merupakan pemain hoki kebangsaan, Faizal meneruskan hentaman bertalu terhadap LMHT menerusi satu jaringan sudut penalti pada minit ke-41 dan satu jaringan padang pada minit ke-42.
 


Skor perlawanan 6-0 memihak kepada skuad tuan rumah namun, situasi itu jelas sekali tidak melemahkan moral skuad pelawat, LMHT apabila mereka berjaya menerobos pertahanan THT dengan tiga jaringan berturut.

Jaringan sudut penalti oleh Yang Peng minit ke-42, gol padang Wang Tao minit ke-47 dan seterusnya jaringan sudut penalti Zhang Zhongqiang minit ke-52 berjaya memberi peluang kepada LMHT dalam perlawanan itu tadi untuk menutup jurang skor kepada 6-3.

Walaubagaimanapun, skuad THT tidak melepaskan peluang untuk kekal mendominasi perlawanan selepas skuad itu meledak dua jaringan penutup sebelum perlawan tamat.

Dua jaringan padang menerusi Fitri minit ke-53 dan Faizal minit ke-54 mengesahkan kemenangan skuad THT dengan keputusan muktamad 8-3.

Skuad THT akan berhadapan tiga lagi pasukan, Matador Hockey Club, Nurinsafi Sporting dan Territory Stingers dalam liga ini.

THT dijadualkan untuk berentap dengan Matador Hockey Club pada 8 Februari, jam 8 malam, di  Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Padang 2 (NHS2).