THT Juara Piala Sumbangsih 2023

KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan rekod sebagai juara Piala Sumbangsih 2023 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 sebentar tadi.

Kemenangan THT tercipta apabila menumpaskan seteru utama, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jaringan 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. 

Seawal minit ke-14, TNB terlebih dulu mendahului permainan apabila Azrai Aizad berjaya menampan masuk bola ke dalam gawang gol THT menewaskan penjaga gol kebangsaan, Hafizuddin Othman. 

The Turtle kemudian memanfaatkan peluang bermain dengan 10 pemain TNB sehingga ketua pasukan, Fitri Saari berupaya menyamakan kedudukan dengan pukulan ‘high reverse’ pada minit ke-20. 

Permainan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan seri 1-1. 

Dua minit selepas suku ketiga bermula, TNB tidak perlu menunggu lama menambah jaringan apabila Syed Syafiq menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan Hafizuddin. 

Namun, THT pantas menyamakan jaringan 2-2 melalui pakar sudut penalti Korea, Jang Jonghyun di saat seorang pemain TNB dilayangkan kad kuning. 

Memanfaatkan 11 lawan 10, THT menambahkan derita TNB melalui jaringan gol padang oleh Shello Silverius apabila berjaya menampan pukulan Marhan Jalil menjadikan jaringan 3-2.

Pengadil terpaksa menghentikan perlawanan seketika berikutan hujan lebat di Stadium Hoki Nasional sehingga reda. 
 

Usai permainan diteruskan, pemain TNB Amirul Hamizan merapatkan kedudukan dengan kedudukan 3-3 melalui ‘setpiece’ daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-69. 

Jang menjadi wira The Turtle apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit sebelum perlawanan ditamatkan menjadikan jaringan 4-3 kekal sehingga wisel ditiup. 

THT memulakan musim dengan langkah kanan apabila mengekalkan Piala Sumbangsih sekali gus mengutip tiga mata bagi permulaan musim 2023.


Tag: