THT Julang Piala Sumbangsih 2025

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Terengganu Hockey Team (THT) berjaya merampas kembali Piala Sumbangsih setelah menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad(TNB) 2-1 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2 itu, TNB terlebih dahulu di depan dengan satu jaringan menerusi pukulan penalti yang disempurnakan Jang Jung Hyun pada minit ke-27.

Namun, jaguh pantai timur itu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan penyerang THT, Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti, tiga minit kemudian.

Pada minit ke-42, penyerang THT, Tengku Ahmad Tajuddin yang kembali menabur bakti di Terengganu memastikan kemenangan dengan jaringan kedua pasukan, sekaligus memacu kemenangan THT meraih Piala Sumbangsih.

Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom yang nyata berpuas hati dengan kemenangan itu menguatkan azam untuk mengembalikan ketiga-tiga piala musim ini ke Terengganu.

"Kita agak kecewa kerana radar untuk memenangi trebel sudah ada, tetapi kita terlepas peluang keemasan.

"Insya-Allah 2025 ini pemain sudah sedia bangkit daripada kekecewaan dan mengembalikan gelaran juara yang pernah dimenangi pada tahun 2023," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Meskipun saingan dijangka lebih sengit pada musim ini, THT mempertaruhkan 39 pemain termasuk dua import iaitu Samkelo Mvimbi (penyerang) dari Afrika Selatan dan pemain Korea Selatan, Lee Nam Young yang mampu bermain di pelbagai posisi.

MHL musim ini menampilkan dua pasukan luar negara iaitu Australia, Territory Stringers dan Laoning Hockey Team (China).

Selain itu, Matador Hockey Team yang mempertaruhkan lapan pemain import Pakistan turut menambah rencah liga musim ini.

Pasukan-pasukan lain yang bertanding ialah Maybank, TNB Thunderbolt, Nurinsafi Sporting, UiTM HA KPT dan Armed Forces HT.

 

 

 

 

 

 


Tag: