Tiada Pelukan, Ibu Calon SPM Mampu Iring Anak Dari Jauh Saja

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Keadaan begitu berbeza pada tahun ini, buat pertama kali tiada lagi iringan dan pelukan ibu dan ayah sebelum anak-anak melangkah masuk ke dewan peperiksaan bagi menghadapi ujian yang bakal menentukan hala tuju mereka selepas ini.

Mastura Mohammad.

Seorang ibu, Mastura Mohammad, 51, mengakui beliau terpaksa akur dengan keadaan tersebut ekoran wabak pandemik yang melanda seluruh dunia itu.

"Dah sebulan saya tak jumpa anak saya yang menginap di asrama sekolah. Saya maklum pihak sekolah tak benarkan kami ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, dapat tengok anak-anak pelajar masuk ke dewan peperiksaan hari ni dari luar pagar sekolah dah cukup melegakan.

"Alhamdulillah mereka dijaga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya memahami itu semua bagi menjaga keselamatan anak saya serta rakan-rakannya," ujar ibu kepada Adib Alaudin Kamaruzaman, 18, ketika ditemui pemberita di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi.

Tambahnya sedikit sebak, beliau mendoakan agar Adib dan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dapat menjawab dengan tenang dan dipermudahkan segala urusan bagi anak-anak.

"Saya doakan dia moga selamat, selawat banyak-banyak, saya sebagai ibu halalkan semuanya," katanya yang juga seorang pembantu tadbir.