BESUT, 30 Ogos- Penganjuran Terengganu Air Festival (TIAF) yang pertama kali diadakan mampu memacu kerancakan aktiviti ekonomi dalam negeri khususnya di daerah Besut.

Pengerusi Jawatankuasa. Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro. Dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penganjuran program yang berlangsung selama tujuh hari itu berpotensi diadakan secara tahunan melibatkan lebih banyak penyertaan.

"Sepanjang berlangsungnya TIAF, semua sektor dapat digemblengkan. Kita lihat para usahawan kita dapat menumpang berniaga dan aktiviti-aktiviti juga bukan terhad kepada sukan luncur udara. Kita ada juga pertandingan memancing, boating selain berlangsung acara seperti fun ride di mana aktiviti sederhana dan lasak itu boleh dijalankan serentak.

"Kalau di bandar, mungkin berlakunya kesesakan dari segi penganjuran program-program. Itulah kita hendak cari serta menaikkan tempat-tempat di luar bandar tetapi suasananya bertaraf antarabangsa dan saya rasa Bukit Bubus ini memiliki potensi dari segi pemandangan juga ekosistemnya.

"Cuma kita berharap, kerajaan negeri boleh melihat perkara ini dengan lebih dekat supaya kita tidak sahaja berada di paras sederhana dan rendah sebaliknya, penganjuran ini dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di TIAF yang berlangsung di Bukit Bubus Paragliding Park, semalam.

Dalam program tersebut, seramai 65 peluncur udara melakukan 'Merdeka Fun Fly' sempena meraikan kemerdekaan negara sebagai acara terbesar yang diadakan.

"Kepada penganjur, dan pihak Majlis Daerah dan Tanah Besut terima kasih kerana memberikan kerjasama yang baik. Mudah-mudahan ini bukan yang pertama dan terakhir ia dilangsungkan.

Saya harap, ini langkah pertama dan akan terus dijayakan lagi supaya ia dapat dikenali lagi samada di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

 

 


Tag: