Berita :
Terengganu Bakal Bangun Ladang Kelapa 1,000 Hektar Di Setiu Bersama MKIC
Terengganu Bakal Bangun Ladang Kelapa 1,000 Hektar Di Setiu Bersama MKIC
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
78

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu mengorak langkah proaktif dalam memperkukuh sektor agromakanan apabila secara dasarnya meluluskan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar di Sungai Tong, Setiu untuk dibangunkan sebagai projek ladang kelapa komersial.

Projek berimpak tinggi itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC), sebuah syarikat usaha sama antara Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan pihak berkuasa Kerajaan Kuwait.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, perbincangan kini berada di peringkat akhir bagi memuktamadkan terma-terma utama perjanjian antara kedua-dua belah pihak.

"Fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk meningkatkan pengeluaran kelapa negeri, menyediakan peluang pekerjaan baharu serta memastikan berlaku pemindahan teknologi pertanian moden kepada rakyat Terengganu.

"Melihat kepada rekod prestasi dan kejayaan MKIC membangunkan ladang kelapa seluas 2,000 hektar di Semporna, Sabah yang merupakan ladang kelapa terbesar di Borneo kami yakin dengan kemampuan syarikat ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat susulan di Pejabat MKIC Kuala Lumpur, hari ini.


Mengulas lanjut, Dr. Azman menyatakan bahawa kerjasama strategik ini bukan bertitik tolak dalam sekelip mata, sebaliknya telah melalui beberapa siri perbincangan rapi dan lawatan tapak sejak akhir tahun 2025 yang lalu.


Malah menurut beliau,pada April lalu delegasi kerajaan negeri turut mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ladang Nagus milik MKIC di Semporna bagi melihat sendiri operasi penanaman varieti kelapa premium seperti Matag, Tacunan, dan Nagus Dwarf.

Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, Dr. Azman menegaskan komitmen penuh Kerajaan Negeri untuk mempermudahkan segala urusan berkaitan permohonan tanah di lokasi yang telah dipersetujui bersama di Setiu.

"Langkah seterusnya akan disusuli dengan perbincangan lanjut di peringkat teknikal bagi memperincikan aspek perancangan perniagaan serta terma-terma komersial.

"Kami sangat mengalu-alukan pelaburan ini demi memacu sektor komoditi negeri ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya lagi.


Untuk rekod, MKIC merupakan entiti korporat kukuh yang mempunyai portfolio luas dalam sektor perladangan dan pemprosesan minyak sawit, penternakan ayam, serta perladangan kelapa berskala besar.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan