Bazlan bersalaman dengan tetamu di majlis rumah terbuka di kediaman beliau hari ini. Foto oleh Harish Fadzilah Abu Kasim |
Kira-kira 10,000 tetamu membanjiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman yang diadakan di perkarangan rumah ADUN itu, di Batu Rakit, hari ini.
Orang-ramai mula hadir kira-kira jam 10.30 pagi dan menjelang tengahari jumlah tetamu semakin ramai untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman tiba bersama isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria kira-kira jam 1.40 tengahari disambut Bazlan dan isteri.
Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee dan isteri, To' Puan Zaimah Ab Aziz turut hadir ke majlis itu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh, ADUN Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor, ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan beberapa ketua jabatan negeri serta persekutuan.
Bazlan mengucapkan terima kasih kepada semua masyarakat di DUN Batu Rakit dan tetamu yang hadir kerana memeriahkan sambutan itu sekali gus mengeratkan ikatan silaturahim antara penduduk.
Sementara itu beberapa penyedia makanan yang ditemui berkata, mereka tidak menang tangan melayani tetamu di rumah terbuka Aidilfitri ADUN itu.
Rahimah Sulong, 65 yang menyediakan makanan opok-opok berkata, beliau menyediakan kira-kira seribu keping makanan itu pada hari ini.
"Hari ini saya menyediakan 1,000 keping opok-opok dan jika tidak cukup saya ada sediakan lagi untuk tambahan," katanya.
Seorang lagi penyedia makanan, Fadhil Razali, 35 berkata beliau menyediakan kira-kira 2,000 bekas cendol itu tetamu rumah terbuka itu.
Manakala, Noraslina Ibrahim pula berkata, sebanyak 175 kilogram ikan selayang disediakan untuk ikan celup tepung digerainya.
"Saya harap ikan ini cukup tetamu yang hadir pada hari ini," katanya.
Sehingga jam 3 petang, orang ramai masih lagi bertali arus menikmati juadah dan bertemu dengan wakil rakyat itu.