• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Tiga Bas Elektrik Beroperasi Di Terengganu Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melalui anak syarikatnya Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) bakal menyediakan tiga  bas elektrik untuk penumpang di bandar raya ini bermula awal tahun hadapan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, bas yang mengaplikasikan teknologi hijau tanpa petroleum tersebut menelan belanja RM3 juta dan akan memuatkan 32 penumpang pada setiap masa.

"Ketika ini terdapat tujuh  buah bas penumpang di Kuala Terengganu manakala sebuah lagi di Kemaman.

“Tiga bas ekspres yang akan mula beroperasi pada tahun depan ini akan menampung keperluan pengguna di negeri ini,” katanya pada majlis Aidilfitri Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 20 anak yatim Baitul Sakinah diraikan dengan menyusuri Sungai Terengganu dengan Teksi Air Payang diusahakan Cas Ligas.

Tambahnya lagi, bas Singgah-Singgah berkonsepkan bas pelancongan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri selain mengaplikasikan teknologi hijau bebas tanpa karbon monoksida.

Dalam pada itu, beliau memberitahu PMINT juga bercadang untuk memiliki bas berkonsep dek terbuka yang akan menyediakan perkhidmatan minum petang bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan.