lightning-solid
Berita :
Tiga Hala Tuju Perkhidmatan Awam Terengganu Perkukuh Kecekapan, Integriti Pentadbiran
Tiga Hala Tuju Perkhidmatan Awam Terengganu Perkukuh Kecekapan, Integriti Pentadbiran
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
69

KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu menggariskan Tiga Hala Tuju Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu Darul Iman sebagai teras utama bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran, melonjakkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara berkesan dan berintegriti.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata penjawat awam merupakan jentera terpenting kerajaan negeri dalam menterjemahkan setiap dasar dan visi yang digariskan kepada realiti yang dapat dirasai oleh rakyat.

Menurut beliau, hala tuju pertama memberi fokus kepada Pemerkasaan Peranan Penjawat Awam sebagai Pelaksana Agenda Negeri, selaras dengan tuntutan semasa yang memerlukan penjawat awam lebih kompeten, progresif dan berdaya saing.

“Penjawat awam ibarat enjin yang menggerakkan jentera pentadbiran. Jika tidak diperkasa melalui peningkatan modal insan, penguasaan kompetensi serta teknologi terkini, keupayaan perkhidmatan akan terjejas dan akhirnya ketinggalan dalam arus transformasi,” katanya.

IMG_20260203_115805_201.jpg 1.31 MB
Beliau berkata demikian di Majlis Amanat SUK Bersama Pegawai Awam Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tegasnya lagi, pemerkasaan penjawat awam tidak boleh bersifat kosmetik, sebaliknya perlu melibatkan perubahan menyeluruh merangkumi minda, profesionalisme dan penguasaan kompetensi digital.

Dalam mendepani era digital, Mohd Azmi  berkata perkhidmatan awam negeri perlu memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Big Data dan Internet of Things (IoT) bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan lebih pantas, tepat serta memenuhi keperluan rakyat.

Tambah beliau, setiap usaha transformasi akan dinilai berdasarkan sistem pengukuran prestasi yang objektif, telus dan berasaskan outcome, bukan lagi bergantung kepada persepsi semata-mata.

Mengulas hala tuju kedua, penekanan dibuat ke atas keperluan Penyelarasan Keutamaan Pentadbiran Negeri dengan Aspirasi Kerajaan dan Rakyat, bagi memastikan setiap dasar yang digubal dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat pelaksanaan.

"Sehubungan itu, Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) diperkenalkan bagi menyemak dan memperkemas proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan kelulusan serta meringankan beban pematuhan yang ditanggung rakyat.

“Digitalisasi perkhidmatan awam bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam memastikan kecekapan, ketelusan dan kesalinghubungan pentadbiran,” katanya.
IMG_20260203_115805_197.jpg 1.2 MB
Sebagai contoh, pelaksanaan e-Perkhidmatan SUK Terengganu berperanan sebagai nadi utama pentadbiran negeri yang menghubungkan pelbagai fungsi di bawah satu ekosistem digital bersepadu, dengan 18 aplikasi digital diwujudkan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan awam.

Sementara itu, hala tuju ketiga memberi penekanan kepada Tadbir Urus Berintegriti sebagai asas utama kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Menurut Mohd Azmi, integriti bukan sekadar slogan atau retorik, sebaliknya nilai yang perlu dizahirkan melalui tindakan, keputusan serta tingkah laku harian setiap penjawat awam.

“Sehebat mana pun sistem dan keupayaan sesebuah organisasi, ia tidak membawa makna jika tidak disandarkan kepada integriti. 

"Justeru, setiap penjawat awam wajib menjauhi rasuah, pelanggaran tatakelakuan serta konflik kepentingan demi memelihara kepercayaan rakyat,” tegasnya.



Tag :

Artikel Berkaitan