• 02 Nov 2024 | 30 Rabiul Akhir 1446

Tiga Remaja Hilang 17 Jam Ketika Menjerat Ayam Hutan Selamat Ditemui

Oleh : Hibatul Jihadi

MARANG, 31 Mac- Tiga remaja yang dilaporkan hilang hampir 17 jam selepas keluar dari rumah untuk menjerat ayam hutan ditemui selamat di Hutan Simpan Merchang berhampiran Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Terengganu, Che Mohd Badrul Isham Ceh Mohd Nor ketiga-tiga mereka iaitu Muhammad Amirul Haziq, 16, Muhammad Adam Ajmal Zainuddin, 15 serta Muhammad Harris Kamarudin, 15 tahun dijumpai oleh salah seorang ayah mangsa.

Ujarnya, mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi Pos Kawalan Bomba pada jam 8.15 pagi tadi.

"Hasil siasatan mendapati remaja itu dilaporkan keluar rumahnya pada pukul 11.00 pagi (semalam), namun tidak pulang ke rumahnya sehingga 5.00 petang dan menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi 'whatsapp' untuk memberitahu mereka tersesat.

"Selepas menerima laporan terbabit, satu pasukan mencari dan menyelamat telah dibentuk melibatkan pihak Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Marang dan unit khas serta dibantu oleh orang awam pada jam 6.00 petang (semalam)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, pasukan Search and Rescue (SAR) pada semalam telah menjumpai kesan-kesan kaki mangsa namun usaha untuk menjejaki ketiga-tiga remaja itu menjadi sukar atas faktor susana semakin gelap.

"Usaha diteruskan sehingga pukul 5 pagi tertangguh seketika bagi memberi ruang untuk bersahur dan solat subuh, walau bagaimanapun usaha diteruskan lagi pada pukul 6.30 pagi oleh pasukan SAR.

"Akhirnya pada sekitar jam 8.13 pagi ketiga-tiga mangsa dijumpai oleh seorang ayah mangsa. Mereka berada dalam keadaan lemah dan luka ringan di bahagian lengan," katanya.

Menurut ayah mangsa yang menemui remaja terbabit, Selamat Ismail,53, berkata ketika mencari dia terdengar suara meminta tolong dari atas bukit kemudian bergegas ke arah tersebut  untuk memberikan sedikit makanan dan minuman.

"Alhamdulillah anak saya ditemui dengan selamat dan tidak berlaku kecederaan serius. Ketika ditanya kepada anak saya mengenai usaha dia untuk cari jalan keluar katanya selepas bangun daripada tidur, dia melaungkan azan dan mengikut arah cahaya matahari," ujarnya.

Ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang selepas ditemui untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.