Tiga Selebriti Dakwah Hangatkan Ambang Merdeka Terengganu

Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-62 tahun pada 31 Ogos, Kerajaan Terengganu akan mengadakan malam Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2019 di Dataran Shah Bandar, 30 Ogos ini.

Tiga Selebriti Dakwah terkenal, Ustaz Haslin ‘Bollywood’, Ustaz Syed Kadir Al-Jofry, dan Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang bakal membuat penampilan dalam slot bicara santai pada malam merdeka tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pihaknya menjangkakan lebih 3,000 rakyat Terengganu akan hadir untuk menyaksikan gandingan  ketiga-tiga selebriti berkenaan.

“Insya-Allah slot pengisian rohani ini, ia bakal menarik kedatangan lebih ramai rakyat Terengganu termasuk anak-anak muda.

“Kita juga akan teruskan sambutan ambang kemerdekaan ini dengan persembahan bunga api sama seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun lepas ia mendapat sambutan yang hebat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat mingguan EXCO di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan 2019 akan menampilkan sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya, dengan perarakan beca oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama-sama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMKN).

Tambah beliau, jumlah penyertaan kontinjen daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah juga lebih ramai pada tahun ini, berbanding tahun lalu.

“Setakat ini, hampir 100 kontinjen dengan anggaran 3,000 peserta sudah pun mendaftar untuk menyertai perarakan dan kita jangka jumlah itu akan bertambah dalam tempoh dua tiga hari lagi.

“Kita juga jangkakan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Batu Burok pada 9.30 pagi untuk bersama-sama meraikan sambutan hari yang penuh bersejarah ini,” katanya.



Tag: