Tiket RM5 Dorong Orang Ramai Kunjungi Galeri Skybridge Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 September - Harga serendah RM5 untuk semua warga Malaysia antara faktor hampir 1,000 orang pengunjung melawati Galeri Skybridge yang terletak di menara tinjau jambatan angkat atau drawbridge di sini pada setiap hari sejak dibuka pada 15 September lalu.
Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn. Bhd, Mohd Nazahar Samsudin berkata, harga itu termasuk percuma bagi kanak-kanak bawah lima tahun manakala bagi bukan warganegara RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak akan dikekalkan sehingga akhir tahun ini .
Katanya, harga yang ditawarkan itu antara yang termurah berbanding menara tinjau di negeri lain yang menetapkan harga RM15 sehingga RM25 seorang untuk warga Malaysia.
“Langkah itu bagi memperkenalkan jambatan ikonik kepada orang ramai terutama pelancong luar Terengganu dan pelancong asing,” katanya.
Pengunjung dari Kuantan, Nur Hazwani Husna Mohd Razali ,27, berkata, tidak rugi dia datang ke Terengganu semata-mata mahu mengunjungi galeri skybridge dan merasai pengalaman melalui jambatan angkat.
“Sebaliknya cukup rugi sekiranya ke Terengganu, tidak mengambil peluang ke galeri skybridge kerana bukan saja harga tiket yang ditawarkan sangat rendah malah lebih menarik boleh melihat hampir keseluruhan bandar Kuala Terengganu apabila berada di atas skybridge,” katanya.
Guru Sekolah Berasrama Penuh Intergasi Kubang Pasu, Kedah, Ustaz Nik Mohd Shazmizi Nik ketika ditemui berkata, dia bersama 20 orang pelajar teruja sebaik tiba di Terengganu, terutama dapat menjejak kaki ke galeri skybridge.
Katanya, harganya sangat berpatutan, jadi tidak perlu risau untuk membawa ahli keluarga dlam jumlah yang ramai.
“Insya-Allah, jika ada kelapangan saya dan keluarga akan kembali ke sini dan beberapa lokasi menarik lain di Terengganu,” katanya.