Tindakan Tegas Jika Pengusaha Pelancongan Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memberi amaran keras kepada penggiat-penggiat industri pelancongan supaya meletakkan keselamatan pengunjung sebagai perkara utama menjelang pembukaan sektor pelancongan di negeri berkenaan pada September ini.
"Apabila pusat pelancongan beroperasi nanti, semua aktiviti seperti snorkeling dan diving juga dibenarkan tetapi syaratnya, kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan.
"Kali ini kita akan bertegas, tahun lepas kita ada isu bot lebih muatan dan tidak memakai jaket keselamatan. Kita akan pastikan, dan kita akan denda mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan dan SOP.
"Sekarang ini zaman 'viral' (tular), kita tidak mahu ia berlaku lagi (memburukkan nama pelancongan Terengganu) dan kita akan pastikan ia tidak berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Ariffin turut berharap, pembukaan semula sektor pelancongan akan merancakkan kembali ekonomi penduduk di lokaliti terlibat.
"Sektor pelancongan Terengganu tidak memberi keuntungan secara langsung kepada kerajaan negeri, tetapi ia mengalir terus kepada masyarakat dan penggiat industri dalam negeri.
"Kita sama-sama berdoa, supaya aktiviti pelancongan yang beroperasi semula dapat mengimbangi kerugian dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang terbabit dalam bidang ini," katanya.