Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama

KUALA TERENGGANU – Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dibuat berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan undang-undang sedia ada.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan merujuk isu berkenaan terhadap pemegang taruh dan pihak berautoriti dalam masa terdekat.

"Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (kita akan buat beberapa keputusan).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada.

"Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat.

"Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, beliau menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini.

"Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja.

"Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain.

"Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.