Tingkat Promosi Produk Pelancongan Pulau Redang
Oleh : Ammaar Salehudin
SETIU, 27 Jun - Kerajaan negeri menyarankan supaya pengusaha-pengusaha pelancongan di Kampung Pulau Redang di sini meningkatkan promosi produk mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan 'guest house' dan 'homestay' dengan pelbagai konsep harus menjadi senjata untuk menarik pelancong datang menginap.
"Jangan biarkan rumah penginapan ini kurang mendapat sambutan, kita mesti tingkatkan promosi supaya orang tahu kewujudan kita," katanya menerusi program dialog bersama masyarakat Kampung Pulau Redang semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri bersama agensi-agensi terlibat sedia untuk membantu mengangkat produk-produk ini agar lebih dikenali sekali gus menjadi pilihan pelancong untuk menginap.
"Kita perlu bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta usahasama kerajaan negeri bagi mempromosikan 'homestay' dan 'guest house' di Kampung Pulau Redang.
"Pengusaha juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) barulah tidak timbul isu 'homestay' dan 'guest house' tidak menarik dan sebagainya," ujarnya.
Katanya lagi, kerjasama antara penduduk-penduduk kampung juga perlu bagi meningkatkan kerancakkan pelacongan di pulau terbabit.
Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke Pulau Redang semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri.