Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
TNB Juara Candat Sotong
MARANG, 16 Julai - Kemeriahan Fiesta Candat Sotong 2022 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berakhir dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melakar kejuaraan dalam acara utama mencandat sotong.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, program tersebut menjadi salah satu tarikan pelancong ke negeri Terengganu.
“Kita bukan sekadar melakukan pesta candat sotong bagi mencipta pengalaman manis, namun yang penting menjadikan pengalaman mengurus program sebegini hingga mendapat tempat di hati komuniti seluruh negara.
“Pada masa yang sama, kita harap pengusaha bot mengambil sikap bertanggungjawab untuk memastikan negeri kita terjaga,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah Fiesta Candat Sotong 2022 di Pulau Kekabu, di sini hari ini.
TNB menjuarai acara dengan membawa hasil sotong seberat 55 kilogram (kg) membawa pulang wang tunai RM5,000 diikuti Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dengan hasil 54.5 kg.
Pesta candat tahunan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pejabat Daerah dan Tanah Marang kali ini melibatkan 30 buah bot dengan penyertaan seramai 300 peserta termasuk dari Australia dan Indonesia.
Fiesta Candat Sotong 2022 bermula sejak 14 hingga 16 Julai dengan pelbagai aktiviti seperti jualan produk industri kecil sederhana (IKS), persembahan kebudayaan dan pertandingan memasak sotong.