KUALA NERUS, 1 November - Pasukan Sri Pahang FC sekali lagi di'ayam'kan Terengganu FC apabila tewas 4-2 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia, malam ini.
Kemenangan tersebut melayakkan Terengganu FC mara ke peringkat suku akhir dengan agregat 9-3.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah hanya memerlukan masa dua minit selepas permainan dimulakan untuk meledakkan gol pertama menerusi jaringan penyerang berbisa, Kpah Sherman.
Memasuki mini ke-29 pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Halim pula menggamatkan stadium apabila menyumbat masuk gol kedua hasil umpanan Kpah Sherman.
Skuad kendalian Dato' Dollah Salleh berpeluang merapatkan kedudukan apabila Steven Rodriguez berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin sebelum beliau mensia-siakan peluang yang terhidang.
Anak-anak buah Nafuzi Zain terus memperagakan aksi terbaik dan gol ketiga Terengganu FC hadir menerusi Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-35.
Tiga minit berselang, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah setelah menjadi benteng terakhir melakukan 'foul' ke atas Steven Rodriguez.
Namun, kekurangan pemain tidak melunturkan semangat Sang Penyu.
Pada minit ke-45, Kpah Sherman menambah derita Sri Pahang FC dengan menyudahkan sepakan penalti yang diperolehi tuan rumah.
Empat gol yang dihasilkan Terengganu FC pada separuh masa pertama dilihat cukup untuk melenyapkan harapan Sri Pahang FC ke peringkat seterusnya.
Memasuki babak kedua, Tok Gajah lebih agresif mencipta ancaman ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-71, pemain naturalisasi terbaru Sri Pahang, Lee Andrew Tuck berjaya menjelmakan jaringan pertama buat pelawat.
Memasuki minit ke-84, Sri Pahang FC berjaya menambah gol kedua menerusi Steven Rodriguez.
Namun, kebangkitan tersebut tidak memberikan apa-apa makna berikutan Terengganu FC menang dengan agregat 9-3.
Terengganu FC akan bertemu Kuala Lumpur City di peringkat suku akhir pada 6hb November ini.