MARANG, 25 April - Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun padang ke empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen beliau bagi mengagihkan bantuan Sinar Ramadan bernilai RM75,500.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusuf berkata, jumlah tersebut melibatkan 380 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf di bawah kategori fakir dan miskin.
Haron berkata, menjadi harapan pihaknya yang mewakili Ahli Parlimen Marang agar agihan Sinar Ramadan itu dapat meringankan beban golongan sasaran ketika menyambut Ramadan.
"Penerima agihan Sinar Ramadan membawa pulang barangan keperluan makanan barangan asas seperti beras, tepung dan pelbagai barangan kering," katanya ketika ditemui UPDI selepas majlis agihan semalam.
Dalam masa yang sama, Haron turut menghargai peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang banyak membantu dalam melancarkan program agihan Sinar Ramadan.
Untuk rekod, penyerahan sumbangan dilakukan di Masjid Pengkalan Berangan bagi DUN Pengkalan Berangan, DUN Alur Limbat di Dewan sivik Binjai Bongkok, DUN Bukit Payong di Dewan Sivik Sena Rendang dan DUN Rhu Rendang di Dewan Tok Guru, Rusila.