Tok Li Pimpin Inisiatif Bersama NADMA Tangani Hakisan Pantai Kijal

KEMAMAN, 19 Januari – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris mengumumkan cadangan untuk memohon bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melindungi Pantai Kijal daripada hakisan yang semakin serius.

Razali mencadangkan agar satu pelan jangka pendek dan jangka panjang dirangka untuk memastikan pantai ini kekal terpelihara dan selamat untuk masa depan.  

Katanya, perubahan iklim yang berlaku setiap tahun, terutamanya semasa musim tengkujuh, telah menyebabkan ombak besar menghentam Pantai Kijal. 

“Tahun 2025 dijangka lebih mencabar dengan fenomena pertembungan air pasang, angin kencang, dan hujan lebat. Walaupun tiada rumah yang rosak, hakisan pantai semakin ketara dan menjadikan pantai ini semakin nipis,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Hakisan di Pantai Teluk Kalong semalam.

Lawatan tersebut melibatkan Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Kemaman, serta Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Razali berkata beliau bersama beberapa agensi telah membuat tinjauan untuk melihat masalah itu dengan lebih dekat. Langkah jangka pendek dan panjang akan dikaji dengan segera.

“Usaha ini penting untuk melindungi Pantai Kijal, bukan sahaja untuk mengelak kemusnahan alam sekitar tetapi juga untuk mengekalkan pantai ini sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu.  

“Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penduduk setempat bagi memastikan usaha ini berjaya,” ujarnya.

 


Tag: