Tonjolkanlah Kebaikan, Bukan Fitnah BN
Johari Abu Bakar |
Pembangkang perlu menonjolkan kebaikan dan kejayaan di negeri masing-masing, bukannya menarik simpati rakyat dengan menabur fitnah dan tohmahan terhadap Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda BN Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, sebagaimana kerajaan di negeri ini dan juga peringkat persekutuan umumnya, kerajaan BN lebih suka menonjolkan sisi positif untuk memastikan rakyat terus yakin dan bergerak seiring untuk memastikan kemajuan negara.
"Kalau pembangkang rasa dia boleh, tunjuklah dengan kerajaan yang ada bukan membuat fitnah berita palsu, bukan dengan isu bersifat peribadi.
“Patutnya dia tunjuk apa ‘success story’ yang telah dibuat di negeri pembangkang itu sendiri contoh di Kelantan, di Selangor dan di Pulau Pinang. Kalau dia gagal, maknanya rakyat boleh menilai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Menjelang pilihan raya tidak lama lagi, Mohd Johari percaya, pembangkang giat melancarkan perang saraf terhadap BN dan kerajaan bakal diserang dengan pelbagai tohmahan bagi menangkis keyakinan rakyat terhadap parti itu pada PRU14.
Keadaan itu seringkali berlaku dan tidak menolak perang saraf boleh berlaku dalam pelbagai bentuk unuk mendapat simpati rakyat, selain mewujudkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.
“Kalau kita hendak memerintah, kalau hendak ambil kerajaan, kita tunjuk apa kebaikan-kebaikan yang telah kita buat contohnya di negeri pembangkang itu. Tunjukkan kebaikan baharulah rakyat sokong,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak pembangkang gagal untuk menunjukkan cerita kejayaan di negeri masing-masing kepada rakyat.
Jelasnya, ketika ini, sebahagian negeri pembangkang sering dilanda masalah, selain pemimpinnya di negeri tertentu berdepan tuduhan rasuah serta masalah politik yang belum selesai berikutan kerjasama longgar antara satu sama lain.
“Di Pulau Pinang isu tidak selesai. Jadi ini menyebabkan rakyat tidak suka. Inilah masanya rakyat berfikiran matang untuk memilih kerajaan. Jadi kena pilihlah kerajaan, bukan dengan undi rosak,” katanya. - Sumber Sinar Harian