Berita :
RMK-13: Jambatan Uzur Hulu Besut Antara Keutamaan Untuk Dinaik Taraf
RMK-13: Jambatan Uzur Hulu Besut Antara Keutamaan Untuk Dinaik Taraf
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 22 April - Jambatan Kampung Darau yang berusia lebih lima dekad dan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh akan dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), bagi menjamin keselamatan serta kelancaran perhubungan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, projek menaik taraf jambatan tersebut merupakan antara keutamaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu untuk dilaksanakan dalam tempoh perancangan akan datang.

Menurutnya, ketika ini pihak JKR sedang dalam proses memuktamadkan skop kerja bagi pelaksanaan projek berkenaan di bawah peruntukan pembangunan negeri dan penyelenggaraan jalan negeri yang disasarkan pada tahun 2027.

"Menaiktaraf Jambatan Kampung Darau merupakan salah satu keutamaan oleh JKR Negeri Terengganu untuk diangkat dalam RMK-13.

"Selain itu, JKR Negeri kini dalam proses memuktamadkan skop bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jambatan tersebut di bawah peruntukan pembangunan negeri bagi tahun 2027," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkaitan status permohonan naik taraf jambatan tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.

Jambatan yang dibina sekitar tahun 1970-an itu terletak di Seksyen 8.4, Laluan T05 Jalan Jerteh-Keruak dan menjadi penghubung utama antara Pekan Jerteh dan Pekan Keruak di daerah itu.

Struktur jambatan berkenaan dilaporkan telah usang serta sering dinaiki air sehingga kira-kira satu meter setiap kali musim tengkujuh, menyebabkan laluan dari Kampung Darau dan Kampung Padang Buluh terputus hubungan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, cadangan projek menaik taraf yang dianggarkan bernilai RM6 juta akan melibatkan penggantian jambatan sepanjang 300 meter berserta pembinaan jalan tuju baharu.

Projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jambatan dan jalan sementara, sistem perparitan, kerja-kerja geoteknik, pemasangan perabot jalan serta pengalihan utiliti berkaitan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada isu jalan rosak dan tidak rata di kawasan DUN Hulu Besut bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

Tambah Hanafiah, kerja-kerja baik pulih jalan akan dilaksanakan oleh JKR menerusi peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan (MARRIS).

"Bagi tahun 2026, JKR Besut telah merancang untuk melaksanakan dua projek pembaikan jalan di kawasan Hulu Besut dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM1.9 juta bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat enam laluan Jalan Raya Negeri di Hulu Besut yang didaftarkan dalam sistem MARRIS dan diselenggara oleh JKR Daerah Besut serta JKR Negeri Terengganu.


Ketupat

Artikel Berkaitan