'Total Lockdown', PKPD Di Terengganu Tunjuk Hasil Positif

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pelaksanaan 'total lockdown' fasa pertama bermula 1 Jun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di negeri ini mula menunjukkan perkembangan yang positif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu terbukti selepas kes positif yang dicatatkan hari ini adalah 108.

"Semalam 171, lebih 70 daripadanya adalah kes positif COVID-19 di kawasan industri Teluk Kalong yang melibatkan warga asing dan tidak ada risiko kepada rakyat negeri kita kerana mereka tidak keluar dari kawasan industri tersebut.

"Jadi bila ditolak hanya 98 kes tempatan untuk semalam," ujarnya ketika bersiaran secara maya di TV Darul Iman, hari ini.

Jelas beliau, kadar kebolehjangkitan turut menunjukkan penurunan iaitu tidak lebih dari 1.

"Semalam 0.9 bermakna kadar jangkitan akan makin berkurangan dari hari ke hari yang akan membawa lekuk kepada mendatar," ujarnya.

Dr Alias berkata, PDRM turut memaklumkan tahap kepatuhan rakyat Terengganu terhadap SOP 'total lockdown' dan PKPD sangat baik.

"Contohnya, Besut semalam dan hari ini hanya catat empat kes baru dan ini suatu kejayaan, begitu juga di mukim Kuala Berang, penularan sudah boleh dikawal.

"Di Kuala Terengganu hanya mukim Bukit Besar dan Serada kawasan PKPD yang masih tidak dapat dikawal dan lain-lain semakin baik," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebenarnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat.

"Ini bukanlah kejayaan kerajaan tetapi rakyat yang bekerjasama sehingga membolehkan kes COVID-19 di negeri kita semakin menurun," ujarnya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga sedang giat berusaha supaya lebih ramai rakyat Terengganu mendaftar vaksin. 

"Kita sasarkan dapat capai 70 peratus daftar vaksin untuk meningkatkan imuniti kelompok.

"Walaupun peratusan pertambahan yang mendaftar masih rendah tetapi kehadiran ke pusat penerimaan vaksin semakin meningkat ," ujarnya.


Tag: