Berita :
Tragedi berulang: ‘Sampai bila nak berlembut dengan pemandu mabuk?’ – MP Dungun
Tragedi berulang: ‘Sampai bila nak berlembut dengan pemandu mabuk?’ – MP Dungun
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
7 jam yang lepas
213

DUNGUN, 31 Mac – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, mengecam sekeras-kerasnya kejadian pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan dan kembali menghantui rakyat negara ini.

Menurut beliau, insiden terbaru yang berlaku kelmarin, melibatkan seorang penunggang motosikal yang tidak bersalah maut selepas dilanggar oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol, membuktikan bahawa isu ini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya satu bentuk kecuaian yang meragut nyawa.

“Berapa ramai lagi nyawa tidak berdosa perlu terkorban sebelum tindakan benar-benar tegas diambil? Kita tidak boleh lagi bersikap lunak terhadap golongan tidak bertanggungjawab ini,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa individu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya sedang mempertaruhkan nyawa pengguna jalan raya lain, dan tindakan tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak berkuasa, antaranya memperketatkan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten tanpa sebarang kompromi, mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori bagi kes yang menyebabkan kematian, serta menggantung atau membatalkan lesen memandu pesalah dengan serta-merta.

Selain itu, beliau juga menggesa agar operasi sekatan jalan raya dipertingkatkan secara lebih agresif, khususnya pada waktu berisiko tinggi bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan tidak memandu selepas mengambil alkohol. 

Katanya, alternatif seperti menggunakan perkhidmatan e-hailing, mendapatkan bantuan rakan atau menunggu sehingga benar-benar sedar perlu dijadikan pilihan utama.

“Nyawa rakyat bukan bahan eksperimen untuk diuji dengan kelonggaran undang-undang. Sudah tiba masanya tindakan tegas dan menyeluruh diambil sebelum lebih banyak keluarga kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah drastik perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin dan tragedi seumpama ini tidak berulang lagi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan