Berita :
Transformasi Sejak 2019 Ubah Tiga GLC Daripada Rugi Kepada Untung
Transformasi Sejak 2019 Ubah Tiga GLC Daripada Rugi Kepada Untung
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU, 23 April - Usaha transformasi dan penjajaran semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang dilaksanakan sejak 2019 terus menampakkan hasil apabila beberapa syarikat utama milik Kerajaan Terengganu merekodkan peningkatan prestasi ketara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata langkah penambahbaikan pengurusan yang digerakkan pada awal pentadbiran negeri kini mula membuahkan hasil.

“Saya masih ingat pada tahun pertama pentadbiran kita pada 2019, kita telah melakukan beberapa transformasi pengurusan dan penjajaran GLC.

“Alhamdulillah, hari ini kita telah dapat merasai hasil daripada usaha sebelum ini,” katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah peningkatan pendapatan Kumpulan Terengganu Inc (TI), yang melonjak daripada RM964 juta pada 2018 kepada RM2 bilion pada 2025.

Dalam tempoh tujuh tahun, katanya, kumpulan itu mencatat pertambahan pendapatan sebanyak RM1 bilion atau 104 peratus.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi perancangan jangka panjang lima tahun, Kumpulan TI menyasarkan pendapatan RM3.9 bilion menjelang 2030, iaitu peningkatan RM1.9 bilion atau 95 peratus berbanding 2025.

Selain itu katanya, TDM Berhad juga menunjukkan pemulihan apabila kembali mencatat keuntungan selepas merekodkan kerugian sebelum ini.

“Pada tahun 2018, TDM Berhad mengalami kerugian sebanyak RM36 juta dan alhamdulillah kita telah berjaya pulihkan.

“Hasilnya, pada tahun 2025, TDM telah berjaya mencatat keuntungan RM19 juta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pendapatan EPIC meningkat kepada RM409.4 juta pada 2025 berbanding RM296.9 juta pada 2018.

Kerajaan negeri, katanya, optimis momentum tersebut dapat diteruskan menerusi pengukuhan prestasi di semua peringkat, termasuk agensi, badan berkanun dan GLC negeri.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua. Semoga prestasi yang baik ini akan terus dipertingkatkan sama ada di peringkat kerajaan negeri, agensi, badan berkanun dan GLC demi manfaat rakyat dan negeri Terengganu,” katanya.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan