HULU TERENGGANU, 6 Julai – Bayangkan membuka tirai bilik setiap pagi lalu disajikan panorama 360 darjah Tasik Kenyir yang membiru, dikelilingi banjaran gunung menghijau serta hutan tropika yang memukau pandangan mata.
Itulah pengalaman eksklusif yang ditawarkan Primula By The Lake, destinasi penginapan baharu yang kini menjadi antara tarikan paling unik di Tasik Kenyir.
Menampilkan 150 bilik yang semuanya menghadap panorama tasik, hotel berkonsepkan peranginan itu optimis mampu muncul sebagai mercu tanda baharu industri pelancongan Terengganu, sekali gus mengangkat Tasik Kenyir sebagai destinasi pilihan bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Residen (RM) Primula By The Lake, Mohd Fadzil Ismail berkata, kelebihan lokasi yang terletak di pinggir tasik membolehkan setiap tetamu menikmati pemandangan alam semula jadi tanpa halangan, sekali gus memberikan pengalaman menginap yang sukar ditandingi.
"Primula By The Lake sebuah destinasi yang menggabungkan keselesaan penginapan bertaraf premium dengan keindahan alam semula jadi Tasik Kenyir.
"Kesemua 150 bilik kami menawarkan pemandangan tasik, gunung-ganang dan kehijauan hutan yang menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

“Selain itu, beberapa bilik mesyuarat bersaiz sederhana yang mampu menampung antara 20 hingga 50 peserta turut disediakan bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat,”ujarnya lagi.

"Kami turut menyediakan restoran dan coffee house yang menawarkan pelbagai pilihan menu tempatan serta antarabangsa bagi melengkapkan pengalaman percutian tetamu," katanya.

Katanya, konsep itu membolehkan pengunjung menikmati pelbagai aktiviti rekreasi dan ekopelancongan tanpa perlu meninggalkan kawasan hotel.
Tambah beliau, sambutan terhadap hotel berkenaan juga amat memberangsangkan apabila tempahan bilik sehingga Oktober telah dipenuhi, termasuk tempahan daripada kumpulan yang menginap untuk tempoh lebih panjang.
“Sejak dibuka pada 1 Julai baru-baru ini, kami menerima sambutan yang cukup baik daripada pelanggan secara ‘walk in’ serta tempahan atas talian dan Alhamdulillah… Primula By The lake ‘full booking’ sehingga Oktober ini,” jelas Mohd Fadzil.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, pihak pengurusan akan terus memperkukuh promosi bagi musim cuti hujung tahun selain menambah baik kemudahan sedia ada.
"Antara kemudahan baharu yang sedang dirancang ialah ruang permainan kanak-kanak, bilik karaoke, kafe dan beberapa lagi fasiliti yang akan menjadikan pengalaman menginap di Primula By The Lake lebih lengkap serta menyeronokkan," katanya.
Tag :