Jalur Gemilang
Berita :
Warga UMT Diingatkan Utamakan Keselamatan Hadapi MTL
Warga UMT Diingatkan Utamakan Keselamatan Hadapi MTL
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 11 November – Warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT), khususnya pelajar, diingatkan supaya tidak mengambil mudah risiko kejadian kepala air, banjir dan arus deras susulan negara kini memasuki fasa awal Monsun Timur Laut (MTL).

Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, perubahan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim berkenaan menuntut semua pihak lebih peka terhadap keadaan persekitaran serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri.

Menurutnya, kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang dilaporkan semalam sehingga menyebabkan beberapa individu dipercayai dihanyutkan arus perlu dijadikan peringatan bahawa keadaan alam boleh berubah dengan pantas tanpa diduga.

"Justeru, seluruh warga UMT, khususnya para pelajar hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan dalam apa jua keadaan.

"Elakkan daripada mengunjungi atau melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti sungai, pantai, air terjun, cerun serta lokasi yang berpotensi mengalami banjir, kepala air atau arus deras," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, warga universiti juga perlu mengambil serius sebarang perubahan cuaca dan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dengan menangguhkan aktiviti luar sekiranya keadaan tidak selamat.

Katanya, pelajar yang berada di dalam mahupun luar kampus turut diminta mengambil berat antara satu sama lain, selain memaklumkan keberadaan kepada rakan atau ahli keluarga ketika melakukan perjalanan jauh.

"Warga universiti juga perlu mengelakkan sebarang tindakan berisiko yang boleh mengancam keselamatan diri, terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu.

"Mereka yang menghadapi kesulitan atau memerlukan bantuan sepanjang musim tengkujuh ini diminta segera menghubungi pihak universiti melalui saluran komunikasi rasmi," katanya.

Beliau berkata, keselamatan warga universiti merupakan keutamaan dan semua pihak perlu memainkan peranan dengan saling mengingatkan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, warga UMT disaran sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan makluman terkini daripada agensi berkaitan serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan