KUALA TERENGGANU, 28 November — Hujan berterusan sejak hampir seminggu lalu memberi impak di Terengganu apabila beberapa laluan utama di tiga daerah terpaksa ditutup sepenuhnya berikutan limpahan air yang menenggelami jalan.
Menurut maklumat terkini yang dikemaskini menerusi laman web Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak tujuh laluan ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak semalam dan pagi tadi, melibatkan daerah Setiu, Kemaman dan Marang.
Di Setiu, tiga laluan yang tidak boleh dilalui ialah Permaisuri-Ulu Seladang, Jalan Kampung Bukit/Alur Lik dan Jalan Chalok/Bukit Putera/Telaga Papan. Situasi sama turut berlaku di Kemaman melibatkan Jambatan Lama Teladas, Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong dan Lubuk Lesong.
Sementara itu, di Marang, Jalan Penghubung Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Bukit Payong turut ditutup selepas paras air meningkat sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.
Dalam masa sama, lapan lagi laluan di Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman ditutup kepada kenderaan ringan setelah dinaiki air.
Di Kuala Terengganu, laluan terlibat ialah Jalan KT Bypass-Durian Burung dan Jalan Bukit Payung-Pengadang Buloh-Cendering, manakala di Setiu melibatkan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong.
Di Hulu Terengganu, laluan yang terjejas termasuk Jalan Utama Felda Mengkawang-Tersat, Jalan Utama Bukit Diman-Tersat dan Jalan Pelam/Bukit Lawang. Kemaman pula membabitkan Jalan Payoh-Kemasik serta laluan Kertih 5-Batu Putih-Kertih.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan berhati-hati dan sentiasa merujuk maklumat terkini penutupan jalan menerusi portal rasmi JKR bagi mengelakkan sebarang risiko atau kelewatan perjalanan.