Tunai Bajet 2019 Untuk Dapat Keberkatan Allah SWT


Menteri Besar ketika diwawancara penyampai radio Manis FM, Adam di Konti Manis FM, Jumaat lalu.



KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan setiap kandungan dalam Bajet 2019 bukan untuk menunjukkan kehebatan dan bersaing dengan sesiapa serta mana-mana negeri, sebaliknya sebagai menunaikan amanah dan mendapat keberkatan Allah SWT.

"Kita sedia bajet (2019) bukan berlumba dengan sesiapa. Bukan untuk (sekadar) menyatakan kita mampu (lakukan) itu..kita mampu ini..Sebab saya rasa asas yang terbesar kita mahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab, melaksanakan amanah dan akhirnya kita mampu mencapai kesejahteraan hidup rakyat dan Negeri Terengganu, seterusnya mencapai objektif mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah  SWT," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tema `Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’ yang diangkat pada pembentangan Bajet 2019, baru-baru ini ketika sesi wawancara dalam Bicara Khas Pasca-Bajet Terengganu 2019 di konti Manis FM, di sini, kelmarin.

Menurut Dr . Ahmad Samsuri, untuk mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT, penduduk negeri termasuk pihak kerajaan, semua agensi serta sesiapa sahaja (umat Islam) yang berada dalam setiap komposisi negeri ini perlu beriman kepada Allah SWT.

"Cabang hidup kita ini, apa jua yang kita laksanakan sekalipun sama ada kita sebagai rakyat, sebagai orang kampung, sebagai pekerja, sebagai orang kerajaan...sebagai Menteri Besar sekali pun hendaklah kita beriman dan bertakwa kepada Allah kerana itulah yang akan mengunci kita supaya melakukan yang terbaik dan menunaikan amanah untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah,"katanya.

Tema tersebut menurut beliau, bertepatan dalam Surah Al-A’raaf Ayat ke-96 sebagai prinsipnya, yang diharmonikan bersama pandangan rakyat serta mengambil kira perkembangan ekonomi semasa seterusnya ke arah memenuhi aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS).

Perencanaan bajet itu turut didokong oleh empat teras utama iaitu keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.Teras pertama adalah keberkatan, teras kedua adalah kemajuan, teras tetiga adalah kebajikan manakala teras keempat adalah kecekapan.


Semua teras tersebut akan diperkukuhkan dengan lapan strategi pelaksanaan termasuklah pertama, mengukuhkan prinsip Islam, kedua, mewujudkan polisi patuh syariah, ketiga, membangunkan kualiti modal insan. Manakala keempat, merancakkan pertumbuhan ekonomi, kelima, mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat, keenam, merealisasikan Terengganu sebagai negeri berkebajikan, selain diperkukuh dengan strategi ketujuh, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan kelapan, menerapkan nilai integriti dan ketelusan.

Menteri Besar juga menjelaskan, soal iman dan takwa itu bukan terhad kepada ibadat puasa, zakat dan haji semata-mata, tetapi menyentuh secara keseluruhan aspek kehidupan.

Menyentuh lanjut mengenai 20 janji manifesto Kerajaan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerajaan negeri  itu kini merealisasikan sekurang-kurangnya 12 daripada keseluruhan janji itu.

Kata beliau lagi, baki janji itu akan dilunaskan dalam masa lima tahun secara berperingkat, malah tempohnya akan berterusan selain menambah baik setiap usaha pembangunan serta projek yang sudah dan sedang dilaksanakan daripada kerajaan terdahulu.

Antara manifesto yang akan ditunaikan tahun depan menerusi pembentangan bajet lalu adalah mengagihkan kad sejahtera bernilai RM500 setahun kepada setiap keluarga daripada golongan miskin dan menyediakan wad kelas ketiga percuma di hospital kerajaan dengan peruntukkan sejumlah RM17 juta.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membina rumah-rumah rakyat di bawah skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) dan projek Rumah Mampu Milik (RMM).

“Apabila kita sudah melaksanakan 12 daripada 20 itu tidak bermaksud selesai semuanya. Bukan begitu, tetapi akan ada penambahan dan akan kita laksanakan sepanjang tempoh lima tahun ini dan pada masa seterusnya.

“Antara 12 itu termasuk pemberian lot tanah perumahan RMM kpd rakyat. Ini proses berterusan sehingga ke tahun seterusnya..komitmen kerajaan mencari tanah yang sesuai untuk rakyat dan mendaftarkannya. Manakala Karnival Kahwin kita akui ia dilaksanakan oleh kerajaan yang lalu, jadi kita teruskan.

"Wartwan ada bertanya, adakah kita hentikan projek kerajaan sebelum ini. (Tidak hentikan) kerana mana-mana yang baik dilaksanakan oleh kerajaan yang lalu walau 20 - 30 tahun lepas sekalipun kita teruskan jika ia memberi kebaikan dengan menambah baik,"katanya.



Tag: