Berita :
'Turun Padang Ke Setiap Daerah Jadi Pendekatan Utama'- Dato' Azmi
'Turun Padang Ke Setiap Daerah Jadi Pendekatan Utama'- Dato' Azmi
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 21 April - Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham mahu menjadikan aktiviti turun padang ke setiap daerah dalam negeri ini sebagai salah satu pendekatan utama yang diambil bagi memastikan keperluan rakyat dapat dikenal pasti.

Katanya, melalui lawatan ke setiap daerah itu juga akan dapat memastikan segala dasar kerajaan dapat dilaksanakan dan pembangunan dapat ditangani secara langsung.

"Justeru, program turun padang saya ke setiap daerah ini telah pun bermula seawal 1 Februari yang lepas dengan Kemaman merupakan daerah pertama saya lawati.

"Kemudiaanya, diikuti Daerah Dungun, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang dan yang terkini Daerah Setiu pada 14 April yang lepas.

"Selepas ini akan ke Besut dan Kuala Terengganu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 100 Hari Pentadbrian Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri, di Dewan Jamuan Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Azmi berkata lawatan terbabit bukan sekadar simbolik, sebaliknya bertujuan melihat sendiri realiti di lapangan, memahami isu sebenar dan mendengar pandangan terus daripada pimpinan daerah serta jabatan.

"Setiap daerah mempunyai potensi dan cabaran yang berbeza, sama ada melibatkan infrastruktur, pelaburan, tanah, projek pembangunan, sistem penyampaian atau pendigitalan.

"Sebab itu, setiap lawatan mesti disusuli dengan tindakan susulan yang jelas, penyelarasan yang berfokus dan pemantauan berterusan.

"Pendekatan ini turut mengambil aspirasi 'Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi' yang diumumkan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada tahun ini adalah penting bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa responsif.

"Tidak terikat dengan kerenah birokrasi yang melambatkan tindakan serta berupaya membuat keputusan secara lebih cepat, tepat dan berkesan demi kepentingan rakyat," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan