SETIU, 21 Mei – Keputusan terbaik dalam meluluskan sesuatu permohonan tanah hanya dapat dilakukan apabila pemimpin atau pihak berkuasa melihat sendiri keadaan sebenar di lokasi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan turun padang itu amat penting bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan tepat sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ada ketikanya kita perlu turun periksa sendiri keadaan tanah yang dipohon oleh rakyat untuk dapat gambaran yang lebih jelas sebelum membuat keputusan yang sebaiknya," katanya.
Selain meninjau status tanah rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut meluangkan masa dalam siri turun padang berkenaan untuk menyantuni beberapa keluarga yang sedang diuji dengan kesakitan dan kematian ahli keluarga.
Antara yang diziarahi beliau termasuklah seorang anak yatim, adik Hazmi, yang baru sahaja kehilangan bapa tersayang beberapa hari lalu.

Pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Dor itu merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan Puan Wanie dan arwah Encik Zaidi yang telah kembali ke rahmatullah di Kampung Anak Ikan Dalam, Jabi.
Dalam ziarah penuh hiba itu, Dr Azman turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga selain mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian kehilangan tonggak keluarga.
“ Innalillahiwainnailaihirojiun. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.
Pendekatan proaktif dan berkebajikan yang diamalkan Dr Azman itu terus mendapat pujian rata-rata netizen, yang menyifatkan keprihatinan beliau turun ke akar umbi bukan sahaja menyelesaikan isu birokrasi tanah, malah berkesan dalam membela kebajikan sosial masyarakat setempat.
Tag :