KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Rutin ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang yang diatur setiap minggu telah berjaya menyelesaikan masalah rakyat di DUN tersebut.
ADUNnya, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata ziarah yang biasa dilakukan sama ada hari Isnin atau Selasa dapat mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk.
"Tadi ada seorang sakit terlantar yang memerlukan bantuan susu, harganya RM89 setin, untuk seminggu memerlukan empat tin yang memakan belanja RM300 lebih yang terpaksa ditanggung sendiri sedangkan keluarga tidak mampu,
"Jadi saya minta AJK Masjid Bukit Besar menggunakan tabung kebajikan masjid untuk membantu," katanya.
Tengku Hassan memberitahu demikian selepas Program Ziarah Mingguan di sini semalam.
Menurutnya lagi, semasa ziarah tadi, beliau bertemu seorang mangsa banjir di Kampung Jawa, Selangor yang pulang dan ingin memulakan kehidupan baru kampung halaman.
"Tetapi tidak mempunyai pekerjaan, jadi kita bantu dia dapatkan pekerjaan," ujarnya lagi