"Tertunai Hajat Saya, YB Datang Rumah"

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Wan Mohd Firdaus Wan Murni, 39, dari Kampung Pulau Musang meluahkan rasa teruja apabila hajatnya untuk menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, akhirnya tercapai apabila wakil rakyat itu datang berbuka puasa bersama keluarganya.

Menurut Wan Mohd Firdaus, dia sekeluarga  berasa amat gembira dengan kehadiran YB ke rumah mereka setelah sekian lama menyimpan hasrat tersebut.

“Saya dan keluarga memang gembira sangat sebab sebelum ini memang berhajat nak YB datang ke rumah, dan hari ini Allah SWT izinkan,” katanya dengan penuh syukur.

Wan Mohd Firdaus yang tidak bekerja kerana masalah kesihatan selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2019 kini bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai pembantu kebersihan.

Dia turut menghargai keprihatinan Dato’ Wan Sukairi yang membawa juadah nasi Arab untuk berbuka puasa bersama keluarganya.

“Hari ini pun YB siap mari bawa nasi Arab. Tengok anak-anak pun suka makan, tambah pula YB bagi juga bantuan duit dan bakul makanan. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, kehadirannya ke rumah tersebut adalah sebahagian daripada siri ziarah berbuka puasa bersama rakyat di kawasan Wakaf Mempelam.

“Untuk bulan puasa ini, telah 10 buah rumah saya berbuka puasa bersama rakyat. Saya suka berbuka di rumah rakyat kerana banyak hikmah yang diperoleh,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah memberi peluang untuk mengenali keadaan sebenar isi rumah yang diziarahi.

“Ada kala sebelum ini bila saya berbuka di rumah rakyat, ada isi rumah yang sakit, uzur dan pelbagai kisah lagi. Jadi, saya boleh terus ambil peluang untuk menziarahi dan membantu,” ujarnya.

Katanya lagi, perancangan berbuka puasa di rumah rakyat ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan diadakan di kampung-kampung lain pula dalam DUN Wakaf Mempelam.


Tag: