Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP

KUALA NERUS, 22 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bukan penghalang bagi pengusaha Kedai Kopi Ngabang yang terletak di Kg. Wakaf Tengah untuk kekal beroperasi. 

Pengusahanya, Sharifah Nur Aqilah Syed Mohd Zaris mengambil pendekatan perkhidmatan 'take away' dan penghantaran terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dijalankan ekoran keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis bagi tempoh tersebut.

"Sekiranya kedai ini ditutup terus sepanjang PKP ini, sudah pasti akan menjejaskan pendapatan kami sepenuhnya.

"Jadi, sejurus pengumuman PKP tersebut kami terus membuat persiapan untuk mengubah cara perniagaan kami dari 'dine in' kepada bungkus dan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan," jelasnya.

Menurutnya, para peniaga hari ini perlu lebih kreatif dan perlu menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu. 

"Kita tidak tahu lagi bila akan berakhirnya penularan wabak Covid-19 ini, jadi kita perlu fikirkan beberapa 'back up plan' untuk keberlangsungan perniagaan kita," ujarnya lagi. 

Kedai Kopi Ngabang yang baru sahaja mula beroperasi pada tahun ini mengenakan tema kedai kopi ala tradisional dengan juadah seperti nasi dagang, pulut nyiur dan lain-lain lagi.

Iklan yang disiarkan dalam laman sosial